
KL, 15 JULAI 2014: Kenapa Ramadan sentiasa dinanti,
kerana Allah SWT menjanjikan bulan ini sebagai bulan untuk umatnya
melipat ganda akan amalan dan beribadah untuk ganjaran pahala yang juga
tidak terhingga banyaknya.
Tetapi buat penyanyi tersohor, Ziana Zain Ramadan kali ini antara
yang paling bererti bila dia menerima kurniaan yang amat bernilai
daripada Allah SWT. Pada hari turunnya Al Quran ke dunia, Ziana pula
terima sebuah hadiah istimewa serta ia menandakan kejayaan buat semua
yang mendoakan kesejahteraan penyanyi pujaan ramai ini.
Beberapa kali cerita mengenai Ziana Zain mula mengubah penampilannya
terbit ditajuk utama media massa seluruh negara baru-baru ini. Namun
tuan empunya badan belum lagi mengesahkan sendiri hinggalah pada hari
ini 15 Julai bersamaan 17 Ramadan iaitu hari Nuzul al-Quran, diva pujaan
ramai itu mengakui penampilannya di rakaman MeleTOP Raya merupakan imej
baru buat Ziana Zain.
Dihubungi sebentar tadi menerusi panggilan telefon, Ziana atau nama
penuhnya Siti Roziana Zain, tenang bercerita mengenai hijrahnya pada
Ramadan ini adalah sebuah hadiah kemenangan dan juga kurniaan yang amat
besar buat dirinya. Bagi dirinya, ia adalah berkat dan doa dari insan
yang menyayanginya selama ini telah dimakbulkan Allah SWT.
“Ini adalah hadiah yang Allah SWT berikan kepada saya, sebuah
ganjaran yang dijanjikan setelah tidak putus-putus doa daripada
peminat, kawan-kawan dan yang paling termakbul adalah doa kedua ibu bapa
saya.
“Allah SWT telah berikan apa yang mereka semua pohon, sementara itu
juga dibukakan pintu hati saya menerima syariat agama ini. Setelah
beberapa tahun saya memasang niat, akhirnya hari yang dinanti sudah
tiba. Perasaan yang datang itu bukan rasa yang biasa tetapi kuasa yang
luar biasa.

“Tiada pengumuman yang nak dibuat kerana yang penting apa yang
dituntut(berhijab) saya telah cuba penuhi bermula dari Ramadan ini dan
harapan saya biarlah ia kekal ke akhir hayat. Tiada apa yang lebih
bermakna dari apa yang Allah SWT kurniakan kepada saya sekarang,
Alhamdulillah,” tutur Ziana yang tidak lekang memanjatkan syukur kerana
diberikan peluang yang begitu berharga di bulan mulia ini.
Ditanya tentang karier seninya, Ziana masih aktif seperti biasa cuma
penampilannya kini akan cuba dijaga sebaiknya. Tambahan pula sokongan
daripada keluarga terutama anak-anak akan mempermudahkan hari-hari yang
bakal dilaluinya nanti berserta sokongan yang tidak berbelah bagi
daripada peminatnya.
Penampilan istimewa penyanyi lagu Korban Cinta ini adalah bersempena
dengan rakaman khas MeleTOP Raya untuk siaran Aidilfitri ini di Astro.
Memilih ilham rekaan pereka yang sinonim dengan nama penyanyi ini,
Rizman Ruzaini telah menyiapkan persalinan indah lengkap berhijab khas
untuk imej terbaru Ziana Zain itu.
Rujukan:
http://www.murai.com.my/ekstra/ramadan-raya-2014/cerita/article/articleid/590523/ziana-zain-allah-swt-kurniakan-saya-hadiah-paling-bermakna?_ga=1.117296197.214096739.1401665523
http://perihalnegara.blogspot.com/2014/07/selepas-neelofa-ziana-zain-pun-dah-mula.html
No comments:
Post a Comment